PEMBELAJARAN di tingkatan enam adalah taraf tertinggi dalam sistem pendidikan sekolah di negara kita. Pelajar yang terpilih akan mengikuti pembelajaran mereka selama dua tahun dan diakhiri dengan peperiksaan awam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Namun demikian, sudah sekian lama masyarakat mahupun di kalangan pelajar sendiri yang menganggap belajar di tingkatan enam bertaraf rendah dan membuang masa.
Pandangan negatif itu menjadi fobia kepada sesetengah pelajar dan mereka yang terpilih ke tingkatan enam seolah-olah mengalami perasaan rendah diri kerana rakan lain layak ke kolej matrikulasi, politeknik atau institusi pengajian lain. Tanggapan umum ialah pelajar tingkatan enam terdiri di kalangan mereka yang tercicir untuk ke IPTA.
Sesungguhnya persepsi itu mesti dikikis segera kerana sistem pembelajaran di tingkatan enam adalah gerbang kedua untuk ke universiti. Pendapat mengatakan peluang pelajar tingkatan enam untuk melanjutkan pelajaran ke universiti adalah tipis boleh dipersoalkan. Jika kita perhatikan syarat kelayakan ke IPTA, kita dapati syarat minimum kelayakan masuk termasuk mempunyai STPM. Di samping itu, ada beberapa kelayakan lain yang setaraf dengannya seperti sijil matrikulasi, diploma, A-Level atau kelayakan lain yang diiktiraf.
Jadi, di sini jelas menunjukkan kedudukan STPM dimiliki pelajar tingkatan enam diiktiraf kerajaan. Mungkin tanggapan negatif itu berpunca daripada kebanyakan pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran ke pusat matrikulasi. Situasi sebegini menjadi sindrom kepada pelajar yang gagal ke matrikulasi untuk menerima kemasukan ke tingkatan enam lantaran berasa malu kepada rakan. Inilah fenomena saban tahun pelajar tingkatan enam, berasa diri terpinggir dan tercicir. Di samping itu, ada sesetengah pelajar beranggapan tempoh dua tahun di tingkatan enam terlalu lama dan mereka perlu benar-benar bersedia sama ada dari segi mental dan emosi untuk menghabiskan pembelajaran. Apatah lagi belajar di tingkatan enam pelajar masih terikat dengan peraturan dan disiplin sekolah sebagaimana pelajar junior lain. Belajar dan berada di bawah satu bumbung yang sama dengan pelajar tingkatan lain meninggalkan ‘rasa terpencil’ dalam sanubari mereka. Sebenarnya keadaan berkenaan tidak timbul langsung jika pelajar menyedari mereka sebenarnya berada di gerbang universiti. Soal di mana kita belajar tidak penting. Yang perlu pelajar fikirkan bagaimana untuk merangkul kecemerlangan. Kesedaran dan komitmen menjadi tunjang dalam menjana kejayaan dalam mana-mana sistem pembelajaran. Belajar di mana-mana sebenarnya sama saja kerana tiada jalan mudah mencapai kejayaan. Memang benar kejayaan itu milik semua, tetapi yang berusaha keras saja mampu mencapainya. Jika kita meninjau prestasi pencapaian pelajar STPM setiap tahun, ia menunjukkan kualiti sangat tinggi dan sentiasa berlaku peningkatan dari segi peratusan kelulusan. Hal ini menggambarkan pelajar tingkatan enam mampu muncul cemerlang sebagaimana rakan mereka di matrikulasi, politeknik atau kolej swasta. Belajar di tingkatan enam banyak kelebihan. Antaranya pelajar akan mengikuti pembelajaran secara sistematik berdasarkan kurikulum Kementerian Pelajaran bersesuaian dengan kehendak IPTA dan IPTS. Dokongan kuat dan sentiasa di bawah bimbingan guru juga adalah faktor utama membolehkan seseorang pelajar itu mencapai kejayaan cemerlang. Hal itu tidak ada pada rakan mereka di matrikulasi atau di pusat pengajian lain kerana mereka terpaksa lebih berdikari. Tingkatan enam adalah landasan terbaik untuk seseorang pelajar ke universiti. Sebenarnya peluang pelajar tingkatan enam melanjutkan pelajaran ke universiti lebih terbuka berbanding lepasan diploma. Ini kerana lepasan matrikulasi dan diploma tidak secara automatik layak ke universiti jika mereka gagal mencapai merit dan kelulusan ditetapkan. Perlu diingatkan, pembelajaran tingkatan enam diadakan bukan untuk menampung pelajar yang gagal ke IPT, sebaliknya sistem pembelajaran tingkatan enam itu adalah wadah terbaik untuk pelajar mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran lebih luas yang bakal mereka tempuh di IPTA/IPTS. Justeru, selama dua tahun di tingkatan enam membuka ruang dan peluang kepada pelajar untuk merenung diri dan menilai kemampuan sebenar ke arah masa depan yang lebih cerah. Halangan dan cabaran di tingkatan enam adalah jalan mudah ke universiti. Ini kerana mereka yang memperoleh kejayaan cemerlang dalam STPM, laluan ke universiti amat mudah dan mampu menyesuaikan diri untuk mengikuti pembelajaran di universiti. Apa yang penting, pelajar harus bijak merancang pembelajaran dan mesti sentiasa bersedia dari awal. Kepahitan dan kegetiran pelajar mengharungi masa dua tahun di tingkatan enam memerlukan ketabahan dan kecekalan. Tetapi, semuanya adalah lumrah ketika belajar. Ingatlah wahai pelajar pesanan Imam Syafie yang antara lain berkata, “Ilmu itu umpama ladang, maka berbanggalah kamu dengan ilmu. Dan jangan sampai kamu kehilangan ladang kebanggaan itu. Tuntutlah ilmu sebanyak-banyaknya walaupun terpaksa berkorban dan menderita. Mungkin suatu hari nanti apabila engkau menghadiri suatu majlis dan engkau yang memimpinnya, maka engkau akan menjadi kebanggaan majlis itu.” Sesiapa yang tidak pernah merasakan pahit getir menuntut ilmu, meskipun sedetik, tentulah ia akan terjerumus ke dalam kejahilan seumur hidupnya. Demikianlah, betapa pengalaman getir ketika belajar adalah ubat mujarab untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Sesungguhnya sistem pembelajaran tingkatan enam masih boleh dipertingkatkan dengan lebih baik. Antaranya ialah mengadakan sistem kolej seperti pusat matrikulasi. Setiap negeri dibina satu kolej pra-U untuk menempatkan pelajar tingkatan enam. Ini tentu meninggikan imej dari segi fizikal dan mampu memantapkan emosi pelajar. Selain itu, pelajar tingkatan enam seharusnya lebih kerap dibawa melawat sambil belajar di universiti untuk memberi pendedahan awal kepada mereka mengenai suasana kampus universiti.
Ini tentu merangsang minat pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh. Di samping itu, tenaga pendidik ditugaskan di tingkatan enam hendaklah dipilih daripada kalangan guru yang berpengalaman luas. Ini penting untuk meyakinkan pelajar bahawa mereka berdepan dengan tenaga pengajar berkebolehan tinggi yang sekali gus mencambah semangat meneruskan pembelajaran. Hakikatnya, semua peluang belajar seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin dan jangan memperkecilkan keupayaan diri sendiri lantaran kita gagal masuk ke pusat matrikulasi. Tiada halangan, hanya peluang. Itulah yang boleh kita katakan mengenai kelebihan pelajar di tingkatan enam. Kata penulis motivasi Alias Muda, “Setiap orang dilahirkan unik bukan saja dari segi rupa paras, tetapi juga dari segi potensi diri. Keunikan inilah yang menjadikan seseorang itu lain daripada yang lain, hebat dan istimewa.”
Credit to Harian Metro,24/03/2010..
No comments:
Post a Comment